Doa Sholat Dhuha

Salam sejahtera untuk junjungan kita Muhammad, juga untuk keluarga dan sahabat baginda.

MEREBUT PAHALA BERLIPATGANDA DALAM MASA SINGKAT

[Motivasi & Panduan Yang Berharga Bagi Hamba Mukmin Dalam Mempertingkatkan Produktiviti Ibadat dan Mutu Usia]

Karya : Syeikh Dr Muhammad bin Ibrahim

Adalah sesuatu perkara yang tidak asing lagi bahawa terdapat pada diri manusia sebanyak 360 sendi-sendi. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam memberi kita galakkan dan motivasi agar memberikan sedekah setiap hari untuk setiap sendi dari semua sendi-sendi tersebut sebagai membuktikan kesyukuran kita terhadap anugerah pemberian Allah Subhanahu Wa Ta’ala ini. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Anak Adam terdiri dari 360 sendi-sendi. Setiap sendi hendaklah membayar sedekah setiap hari. “Perkataan” baik yang dituturkan seseorang adalah sedekah. “Pertolongan” yang diberikannya mengenai sesuatu terhadap saudaranya adalah sedekah. “Seteguk” air yang diberi minumnya adalah sedekah. Menjauhkan sesuatu yang mengganggu di jalan adalah sedekah”. (Hadis riwayat al-Tabarani).

Berapa banyak masa yang anda perlukan untuk melaksanakan sedemikian banyak sedekah (360) yang merupakan hutang yang harus anda bayar setiap hari? Sanggupkah anda membayarnya? Mudah-mudahan saja sanggup.

Akan tetapi jika anda menunaikan solat dhuha sebanyak dua rakaat sahaja setiap hari, ini sudah cukup bagi anda untuk melunasi hutang harian dan anda dapat menjimatkan masa dan tenaga. Sedang sedekah-sedekah yang anda lakukan adalah merupakan ganjaran bonus seandainya anda melakukannya. Tambahan pula akan dituliskan bagi anda pahala ibadat umrah kerana malaksanakan solat duha. Sepertimana yang akan dijelaskan dalam pembicaraan mengenai haji dan umrah dalam pembahasan ini.

Diriwayatkan daripada Abu Zarr Al-Giffari Radhiallahu ‘anhu beliau berkata:

“Pada setiap pagi (yang datang dan pergi) seluruh tulang dan sendi setiap salah seorang di antara kamu wajib bersedekah. Setiap tasbih (yang dibacanya) adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, menyuruh berbuat baik adalah sedekah, dan mencegah kemungkaran adalah sedekah. Terpadalah untuk keseluruhan yang disebutkan itu dua rakaat solat dhuha yang anda lakukan.” (Hadis riwayat Imam Muslim dan Abu Daud).

Ini adalah satu peluang besar, yakni bagi sesiapa yang mempunyai masa untuk menunaikan solat ini yang dikatakan juga solat awwabin. Agar ia meraih ganjaran ini, terutama sekali wanita yang pada umumnya banyak berada di rumah.

Masa yang terbaik untuk menunaikannya adalah di saat panas matahari telah semakin kuat atau waktu duha sudah naik atau matahari sudah tinggi (pukul 9.00-10.00).

Zaid bin Arqam meriwayatkan bahawa beliau melihat jamaah menunaikan solat dhuha. Ia lalu berkata “Tidakkah mereka tahu bahawa solat pada selain waktu ini adalah lebih afdal. Kerana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Ertinya “Solat awwabin adalah di saat anak-anak unta mula berehat”. (Hadis riwayat Imam Muslim). Yakni di waktu anak-anak unta telah merasakan teriknya panas cahaya matahari.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, beliau berkata “Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda” “Sesiapa solat Subuh berjamaah, kemudian ia duduk untuk zikrullah sehingga matahari terbit, setelah itu ia solat dua rakaat, maka ia akan memperoleh pahala seperti menunaikan ibadah umrah yang sempurna.” (Hadis riwayat al-Tirmizi).

Sepatutnya, wahai saudara seagama, anda hendaklah mengusahakan faktor-faktor yang dapat membantu anda untuk berbuat demikian. Ataupun paling kurang anda melaksanakannya setiap cuti hujung minggu di mana anda tidak terikat pada kebiasaannya dengan pelajaran atau tugas. Dengan demikian anda akan memperoleh pahala dua kali haji dan dua kali umrah setiap minggu, yakni seakan-akan anda telah hidup selama dua tahun di mana anda menunaikan ibadah haji pada setiap tahun.

Kesimpulannya, beriktikaf di masjid selepas solat Subuh berjamaah hingga masuk waktu solat Dhuha, imbalannya di sisi Allah sama dengan menunaikan ibadah Umrah yang sempurna. Semasa beriktikaf hamba mukmin dapat mengisi dan mempergunakan masanya dengan bermacam-macam aktiviti yang bermanfaat, seperti zikir (tilawah Al-Quran, tasbih, takbir, tahmid, tahlil, isitighfar, selawat dan seumpamanya) terutama sekali zikir atau wirid yang khas dibaca di pagi hari, mengikuti kelas agama, membaca kitab yang bermanfaat, berbincang dengan sahabat mengenai permasalahan agama dan sebagainya. Pada kebiasaannya hamba yang diberi Allah taufiq tidak akan berat baginya melaksanakan amalan iktikaf ini, terutama sekali jika ia mengamalkan cara “tidur” mengikut sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam yakni baginda dan para sahabat selalu tidur awal di malam hari bagi membolehkan mereka melaksanakan qiyamullail dan beriktikaf di masjid sesudah solat Subuh hingga masuk waktu solat Duha.

Sebenarnya Solat Isyraq dinamakan juga Solat Dhuha. Tapi banyak orang yang salah faham yang mengatakan bahawa Solat Isyraq bukan Solat Dhuha.

Pengarang Tuhfah Al-Ahwazi.. berkata “Solat sunat ini dinamakan juga Solat Isyraq, ia adalah permulaan solat Dhuha” (3/194).

Berkata Syeikh Abd Rahim Al-Hasyim “Solat Isyraq adalah termasuk solat Dhuha. Barangkali di kalangan sebahagian ulama dinamakan juga Solat Isyraq kerana masa melakukannya hampir dengan terbit matahari.”

Dari Hasan bin Ali ra berkata, ‘Aku mendengar Rasulullah saw bersabda; ‘Barangsiapa telah selesai mengerjakan solat Suboh lalu dia berzikir kepada Allah ‘azzawajalla hingga matahari terbit, kemudian dia mengerjakan 2 rakaat atau 4 rakaat (solat Dhuha), nescaya api neraka tidak akan menyentuh kulitnya.’ (Hr Baihaqi dlm Syu’bul Iman, iii/420)

Dari Anas bin Malik ra berkata, Rasulullah saw bersabda; ‘Barangsiapa selesai mengerjakan solat Suboh berjemaah, lalu dia duduk sambil berzikir kepada Allah hingga terbit matahari kemudian dia mengerjakan solat 2 rakaat (solat Dhuha), maka dia memperolehi pahala seperti haji & umrah.’ Anas ra melanjutkan bahawa Rasulullah saw bersabda; ‘(Haji & umrah) Yang sempurna, Yang sempurna, Yang sempurna.’ (Hr Tirmizi, katanya hadis ini  hasan gharib, hn 586)

Dari Abu Darda ra, sesungguhnya Rasulullah saw bersabda; ‘Sesungghhnya Allah ‘azzawajalla berfirman, “Wahai anak Adam! Janganlah kamu malas mengerjakan 4 rakaat solat pada permulaan hari (solat Dhuha), nescaya Aku akan mencukupkan (semua keperluan) mu hingga akhir hari itu.” ’ (Hr riwayat Ahmad & perawinya adalah tsiqat, Majmauz Zawaid, ii/492)


Dari Abu Hurairah ra berkata,
‘Rasulullah saw mengirim satu jemaah & dalam tempoh yang singkat mereka kembali dengan membawa ghanimah (harta rampasan perang) yang banyak. Seorang lelaki berkata; ‘Wahai Rasulullah, kami belum pernah melihat satu jemaah pun yang kembali begitu cepat sambil membawa ghanimah yang begitu banyak selain dari jemaah ini.’ Rasulullah saw bersabda; ‘Mahukah aku beritahu kepada kamu tentang seorang yang memperolehi ghanimah dengan waktu yang lebih singkat? Iaitu seorang yang berwuduk dengan sempurna di rumahnya lalu pergi ke masjid untuk mengerjakan solat Suboh, kemudian (setelah terbit matahari) dia mengerjakan solat Dhuha. Sesungguhnya dialah orang yang lebih banyak memperolehi ghanimah dalam waktu yang lebih singkat.’ (Hr riwayat Abu Ya’la & perawinya adalah sohih, Majmul Zawaid, ii/491)

Doa Solat Dhuha

Ya Allah, ya Tuhanku,

sesungguhnya waktu Dhuha ini adalah milkikMu,

Seri cahayanya adalah seri cahayaMu,

Keindahannya adalah keindahanMu,

Kekuatannya adalah kekuatanMu,

Pemeliharaannya adalah pemeliharaanMu;

Ya Allah, ya Tuhanku, sekiranya rezekiku

berada di langit maka turunkanlah ia,

Sekiranya berada di dalam bumi

maka keluarkanlah ia,

Sekiranya sukar diperolehi

maka permudahkanlah ia,

Sekiranya berada jauh maka dekatkanlah ia,

Sekiranya sedikit maka perbanyakkanlah ia

dan berkatilahnya;

Demi keberkatan dan hakikat DhuhaMu,

seri cahayaMu, keindahanMu,

kekuatanMu dan pemeliharaanMu,

Berilah kepada ku sebagaimana Engkau berikan

kepada hamba-hambaMu yang soleh.

Wahai Tuhan sekalian alam.

Salam sejahtera untuk junjungan kita Muhammad,

juga untuk keluarga

dan sahabat baginda.

اَللَّهُمَ إنَّ الضُّحَى ضُحَاكَ

وَالْبَهَاءَ بَهَاؤُكَ

وَالْجَمَالَ جَمَالُكَ

وَالقُوَّةَ قَوَّتُكَ

وَالْعِصْمَةَ عِصْمَتُكَ

اَللَّهُمَ إِنْ كَانَ رِزْقِي فِي السَّمَاءِ فَأَنزِلْهُ

وَإِن كَانَ فِي الأَرْضِ فَأَخْرِجْهُ

وَإِنْ كَانَ مُعَسَّراً فَيَسِّرْهُ 

وَإِنْ كَانَ بَعِيْداً فَقَرِّبْهُ

وَإِنْ كَانَ قَلِيلاً فَكَثِّرْهُ وَبَارِكْهُ

بِحَقِّ ضُحَاكَ وَبَهَائِكَ وَجَمَالِكَ وَقُوَّتِكَ وَعِصْمَتِكَ

آتِنِي مَا آتَيْتَ عِبَادَكَ الصَّالِحِيْنَ

يَا رَبَّ العَالَمِيْنَ

وَصَلَّى اَلله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّد وَ عَلَى آلِهِ وَ صَحْبِهِ

وَسَلَّم


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s